Tuesday, February 15, 2011

Day 1 of 1Malaysia trip 2011 - Bukit Kepong

 Perjalanan kami bermula pada hari sabtu 30 Jan 2011 iaitu dari rumah nenekku di Kluang dalam keadaan hujan renyai-renyai yang turun sejak malam tadi. Kami bertolak lebih kurang jam 10.00 a.m. Destinasi pertama mengikut jadual yang telah disediakan oleh ibu bapaku aku ialah Balai Polis Bersejarah Bukit Kepong yang terletak di daerah Muar. Kami menyusuri lebuhraya PLUS  bermula dari tol Air Hitam dan keluar melalui tol Pagoh. Lebih kurang jam 10.50 a.m. kami tiba di perkarangan Balai Polis Bukit Kepong.

 Hari masih lagi hujan dan agak sukar sedikit untuk kami meninjau apa yang terdapat di bahagian luar bangunan. Dari luar bangunan lama ini nampak agak usang kerana ditelan usia. Dihalaman balai polis ini terdapat beberapa kenderaan yang digunakan anggota polis pada waktu tersebut.

Pada mulanya aku sangkakan bangunan ini terbiar kerana langsung tidak kelihatan kelibat penghuni yang bertugas. Setelah merakam beberapa keping gambar tiba-tiba aku disapa oleh seorang anggota polis yang bertugas yang muncul dari arah dalam. Kami dijemput oleh pegawai tersebut untuk meninjau ruang pameran yang terletak di bahagian dalam salah sebuah bangunan yang terdapat di sini. Sewaktu kami berada di dalam,kami diberi penerangan tentang  sejarah  Bukit Kepong terutamanya peristiwa Bukit Kepong diserang oleh pengganas komunis. 
.

 Bangunan ini adalah bangunan baru yang dibina semula setelah bangunan asal telah musnah dibakar oleh pihak komunis. Bangunan ini terletak berdekatan dengan Sungai Muar. Bangunan ini lebih mengutamakan ciri-ciri keselamatan.Bangunan ini juga dilengkapi dengan sebuah menara peninjau untuk memudahkan kerja pemantauan musuh.




Seterusnya,kami bertolak ke Melaka.Setibanya kami disana,kami mengambil keputusan untuk berhenti sebentar dan mengalas perut kami.Selepas mengalas perut,kami menyambung perjalanan kami ke makam Hang Tuah.Malangnya cuaca tidak mengizinkan kami untuk melawat makam tersebut dari dekat.Jadi kami hanya merakam gambar dari luar sahaja.



Kemudian,kami melawat Muzium Pameran Artifak Dunia.Di sana, aku dapat melihat pelbagai jenis barangan hiasan dan perabot pada zaman itu.Aku juga melihat jenis-jenis keris,baju melayu dan kebaya,cop mohor diraja dan barang hiasan puteri.Kebetulan,terdapat sebuah muzium berhampiran dengan muzium ini.




Muzium tersebut ialah Muzium Kesultanan Melayu Melaka.Di muzium ini juga kami dapat mengetahui tentang sejarah kesultanan melayu Melaka.Aku dapat melihat pelbagai alatan seperti keris,tombak,lembing dan sebagainya.Selain itu,disini juga terdapat barangan seramik seperti pinggan, mangkuk dan cawan.Aku juga dapat mengetahui tentang kedatangan pedagang-pedagang asing ke Melaka dan juga kisah tentang Hang Tuah dan perbalahannya dengan Hang Jebat.


Akhirnya,pada jam 6.35 petang,kami mengambil keputusan untuk bermalam dirumah ibu saudaraku di Rembau,Negeri Sembilan.

DAY 1-END


Cuti-cuti 1Malaysia sempena Tahun Baru Cina 2011

Baru-baru ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina ibu bapaku telah membawa aku dan adik-adikku bercuti sambil melawat tempat-tempat bersejarah yang terdapat di seluruh semenanjung Malaysia. Ibu bapaku telah merancang supaya percutian ini menjanjikan keseronokan dan dalam masa yang sama kami mendapat bermacam ilmu pengetahuan berkenaan sejarah tanahair kita. Kami melawat kesemua 11 buah negeri di semenanjung Malaysia. Tempat-tempat yang kami kunjungi terdiri dari muzium-muzium, tempat-tempat bersejarah penting yang tercatat dalam buku-buku sejarah, tempat-tempat yang meninggalkan kesan-kesan sejarah dan juga diselitkan tempat-tempat menarik dan juga tempat-tempat terkenal. Lawatan ini mengambil masa selama 8 hari bermula dari negeri Johor dan berakhir di negeri Pahang. Sepanjang 8 hari percutian ini terlalu banyak perkara yang telah kami pelajari baik dari segi ilmu pengetahuan mahu pun dari segi disiplin terutamanya betapa pentingnya menepati masa.